Perutusan Rektor

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam 1 Malaysia,

Salam 1 TATIUC,

Selamat Datang ke Portal Rasmi Pejabat Rektor. Portal Rasmi Pejabat Rektor ini disediakan untuk memberikan maklumat kepada para pelayar tentang peranan Pejabat Rektor. Alhamdulillah, segala puji syukur ke hadrat Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat-Nya dan memberikan kita pelbagai nikmat untuk meneruskan kehidupan. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Tahniah dan Selamat Datang kepada mahasiswa mahasiswi Sesi 2016/2017 kerana telah memilih TATIUC sebagai destinasi pengajian tinggi. Tanamkanlah semangat dan tekad dalam diri untuk menjadi insan yang berjaya dalam hidup. Semoga segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang bakal dilalui sepanjang berada di sini dapat memupuk minat dan menyemai bakat dalam meningkatkan nilai dan kualiti untuk menjadi insan yang berguna.

Kolej Universiti TATI ialah sebuah kolej universiti kemahiran teknikal yang menekankan kemahiran teknikal 70% dan teori 30% diterapkan dalam setiap program. Sehingga kini, TATIUC menawarkan 1 program Master, 9 program Ijazah, 13 program Diploma dan 2 program Foundation. Peningkatan kemahiran secara berterusan perlu dilaksana bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

TATIUC diwujudkan dengan misi menjadi kolej universiti teknikal bertaraf dunia bagi melahirkan teknokrat dalam pelbagai lapangan industri, kini terus bergerak ke arah itu. Pelbagai langkah proaktif telah diambil bagi memperkasakan bidang akademik dan penyelidikan untuk melonjak setapak lagi bagi mengukuhkan kedudukan untuk menjadi kolej universiti yang terulung di rantau ini. Dengan kepakaran dan kemudahan yang sentiasa dibangunkan, TATIUC mampu berada pada kedudukan itu.

Oleh demikian, adalah diharapkan semua warga TATIUC bersama-sama saya menggerakkan pelan tindakan yang akan dilaksanakan kelak. ''Kuat akar kerana tunjang, kuat tunjang kerana akar''. Semoga tahun 2016 ini akan menjelmakan lebih banyak lagi lakaran kejayaan buat TATIUC.

Akhir kata saya ucapkan, terima kasih kepada para pengunjung yang melayari portal ini. Semoga input yang disediakan di portal ini dapat memberi manfaat kepada para pelayar. Adalah diharapkan para pengunjung portal juga dapat memberikan maklum balas mahupun cadangan bagi mempertingkatkan lagi mutu sistem penyampaian maklumat dengan lebih berkesan. Sebarang pertanyaan atau kemusykilan, boleh hubungi di talian yang tertera. Sekian, terima kasih.

Wassalam.

(PROF. MADYA DR. MOHD ZAMRI BIN IBRAHIM)

Rektor