KEMERDEKAAN


Menurut A. Laski, kemerdekaan adalah "That atmosphere in which men have the oppurtunity to be their best selves".1 Ia juga membawa pengertian mewujudkan kemajuan negara bangsa yang memiliki kebebasan, persamaan dan kebanggaan insani. Sesungguhnya kemerdekaan itu adalah hak segala bangsa dan nusa dan tidak selarasnya wujud penjajahan yang tidak sesuai dengan peri kemanusiaan dan keadilan.

J.S. Furnivall telah menetapkan empat unsur sebagai pra syarat kemerdekaan untuk sesebuah negara di Asia Tenggara diterima sebagai merdeka iaitu memiliki kemerdekaan ketenteraan, kemerdekaan ekonomi, kemerdekaan menjamin kebajikan rakyat dan memenuhi kehendak umum masyarakat.

Empat Pra Syarat Kemerdekaan J.S. Furnivall

1. Kemerdekaan Ketenteraan

Kemerdekaan ketenteraan yang disebutkan oleh Furnivall sebagai kayu ukur kemerdekaan sesebuah negara merujuk pada aspek-aspek keselamatan dalam negara dan juga luar negara tanpa melibatkan tentera asing kecuali sedemikian diupah2 Pendek kata, ia seharusnya berupaya menjamin keselamatan dalaman dan luaran negaranya melalui pertahanan nasional sendiri tanpa bantuan pihak asing.

2. Kemerdekaan Ekonomi

Kemerdekaan ekonomi berdasarkan pada kemampuan sesebuah negara di Asia Tenggara untuk membangun tanpa sebarang bantuan negara asing kecuali yang berbentuk sementara sahaja. Sesebuah negara juga harus membangunkan dan memajukan sumber-sumber mentah dan tenaga buruh tanpa bantuan modal asing. Manakala, pinjaman yang diperolehi dari luar negara juga berdasarkan prinsip membayar balik. Bantuan asing yang lain iaitu yang terdiri dari segi pengurusan ekonomi dan kepakaran teknologi pula diperolehi atas dasar persefahaman yang adil.3

3. Kemerdekaan Dalam Menjamin Kebajikan Rakyat

Pra-syarat yang ketiga adalah menjamin kebajikan rakyatnya yang minima terutamanya bagi perubatan, dalam mengawal penyakit berjangkit yang berleluasa di kalangan manusia, binatang dan tanaman.4 Selain bidang perubatan, kebajikan rakyat juga terdiri daripada keperluan asas seperti kemudahan tempat tinggal, makanan, infrastruktur serta pendidikan bagi membangunkan negara.

4. Kemerdekaan Memenuhi Kehendak Umum Masyarakat

Syarat terakhir yang diutarakan oleh J. Furnivall ini adalah syarat yang penting, iaitu kehendak umum masyarakat harus diberi perhatian yang utama berbanding dengan syarat-syarat lain. Kehendak umum rakyat seharusnya dipenuhi dan mendapat peruntukan yang memadai dan seimbang supaya dapat mencapai kemajuan ekonomi dan sosial yang stabil dan menggalakkan.

Penilaian Terhadap 4 Pra-Syarat Furnivall

Pra-syarat untuk menerima sesebuah negara sebagai merdeka yang dikemukakan oleh Furnivall adalah terlalu ideal untuk dicapai. Sesebuah negara di Asia Tenggara yang merdeka masih dalam proses pembentukan identiti bangsa yang tersendiri. Selain daripada itu, negara-negara di Asia Tenggara juga masih bergantung kepada bantuan asing sama ada dari segi kewangan dan pertahanan. Oleh itu, sesebuah negara di Asia Tenggara hanya dapat memenuhi salah satu syarat yang telah disarankan oleh Furnivall di samping mengutamakan syarat-syarat lain. Terdapat beberapa halangan dalam mencapai pra-syarat tersebut.

Jadi beberapa negara akan diambil untuk menerangkan 4 pra-syarat Furnivall kerana sebuah negara masih belum mencapai keempat-empat tahap kemerdekaan yang dinyatakan oleh Furnivall secara idealnya.

Dari segi kemerdekaan ketenteraan, adalah mustahil jikalau kerjasama asing tidak diperlukan sama sekali. Tiada sebuah negara di Asia Tenggara yang dapat mencapai kemerdekaan ketenteraan yang sebegitu ideal seperti yang diutarakan oleh Furnivall. Sebenarnya kemerdekaan ketenteraan yang diutarakan oleh Furnivall tidak menyatakan jenis ketenteraan, konsep ketenteraan yang diperlukan untuk memenuhi syarat ini dapat dicapai, sama ada dari segi kedaulatan dan sebagainya.

Namun begitu, syarat kemerdekaan ketenteraan ini dapat dikatakan boleh dicapai oleh sesebuah negara di Asia Tenggara ataupun dalam proses mencapainya, seperti negara Republik Indonesia yang mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1945. Sebenarnya, sewaktu pendudukan Jepun lagi, sebuah pasukan tentera sukarela iaitu Pembela Tanahair (PETA) telah ditubuhkan oleh Jepun. PETA dipimpin oleh pegawai-pegawai Indonesia dan menerima latihan tentera daripada pihak Jepun. Tujuan penubuhan PETA ialah untuk mempertahankan Indonesia daripada sebarang serangan oleh kuasa-kuasa Berikat.

Dengan itu Indonesia mampu mengekalkan kemerdekaannya terutamanya pada lima tahun pertama selepas Perang Dunia Kedua tanahair. PETA menjadi benteng angkatan tentera nasionalis bagi menentang kemasukan semula Belanda pada tahun 1945.6 Dari aspek ini sebahagian syarat kemerdekaan ketenteraan Furnivall dapat dikatakan telah dicapai oleh Indonesia. Namun begitu, apabila berlaku perselisihan mengenai Irian Barat, Indonesia telah mendapatkan bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membawa kepada Belanda melepaskan kawalan dan kekuasaan ke atas Irian Barat dan Indonesia secara keseluruhannya.

Selepas memperolehi kemerdekaan, undang-undang Dasar ditetapkan pada 18 Ogos 1945 di mana Presiden dan wakil Presiden dipilih. Indonesia memperolehi kemerdekaan pada saat-saat genting iaitu semasa darurat. Pada masa itu, Tentera Keamanan Rakyat (TKR) dibentuk. Pada 26 Januari 1946, Presiden Soekarno dan Menteri Pertahanan telah mengumumkan TKR digantikan dengan Tentera Republik Militer dibentuk dan diketuai oleh Presiden Soekarno dan dibantu oleh Wakil Ketua I Wakil Presiden dan Menteri Pertahanan sebagai wakil Ketua II. Jadi di bawah Presiden Soekarno berjaya membentuk tentera nasionalnya yang tersendiri tanpa bantuan asing.

Pada 5 Mei 1947 Tentera Nasional Indonesia (TNI) ditubuhkan dan Presiden Soekarno menyandang Panglima Tertinggi Angkatan Perang dan TNI dengan sahnya ditubuhkan pada 3 Julai 1949. Ahli-ahlinya terdiri daripada bangsa Indonesia.7 TNI menjadi tulang belakang pertahanan Indonesia yang sehingga kini telah dikekalkan. Dan menurut UUD 1945 Fasal 30, tiap-tiap warganegaranya berhak dan wajib ikut serta dalam usaha pembelaan negara serta syarat-syarat pembelaan diatur mengikut undang-undang.

Pihak tentera Indonesia dalam sebuah seminar pada April 1965 telah mencetuskan satu doktrin yang menyatakan bahawa Indonesia memiliki kekuatan militer yang lengkap dan sempurna.

Berdasarkan kenyataan Furnivall yang menyatakan syarat kemerdekaan ketenteraan ini, bolehlah dikatakan Indonesia telah hampir mencapainya. Ini adalah kerana ia masih bergantung kepada bantuan akan wujud kerjasama dengan militer asing apabila keadaan tidak dapat dikawal. Oleh itu, masih menjadi tanda tanya sama ada syarat yang dikemukakan oleh Furnivall wajar digunakan sebagai kayu ukur untuk menilai kemerdekaan sesebuah negara di Asia Tenggara.

Dari segi kemerdekaan ekonomi pula, Indonesia terpaksa menghadapi pelbagai kesulitan dan halangan yang memburukkan lagi kedudukan ekonomi. Sebagai negara pertanian, Indonesia tidak dapat mengubah corak perusahaannya kepada bidang perindustrian tanpa modal yang mencukupi di samping kepakaran teknologi mesin. Oleh itu, Indonesia terpaksa bergantung pada sektor swasta dan golongan kapitalis asing. Memandangkan perusahaan swasta dimonopoli oleh pedagang Eropah dan Cina maka golongan pribumi ketinggalan dalam bidang ekonomi.

Kerajaan Indonesia di bawah Soekarno telah mengalami inflasi yang melebihi 6090 pada tahun 1966. Di samping itu, pengeluaran bahan-bahan makanan semakin menurun. Perkembangan ini bertambah dengan pertumbuhan penduduk yang pesat dan kemiskinan yang amat tinggi. Bantuan ekonomi pula dari negara-negara peminjam Barat dan Jepun telah menyebabkan pergantungan Indonesia pada modal asing malah peminjam tersebut dapat menguasai ekonomi Indonesia.

Dengan ini, jelaslah bahawa dari segi kemerdekaan ekonomi masih bergantung kepada peminjam luar sama ada dalam bentuk sementara mahu pun kekal. Indonesia ternyata tidak dapat membangunkan sumber manusia dan sumber mentahnya sendiri tanpa modal asing. Hutang pinjaman luar sukar dibangun balik memandangkan matawang Indonesia masih rendah nilainya berbanding matawang negara luar.

Tambahan pula, kebajikan masyarakat gagal diatasi oleh kerajaan Indonesia. Gejala kemiskinan dan pengangguran mengikut akibat kurangnya usaha kerajaan dalam menangani masalah ekonomi.

Jadi jelaslah, dari segi kemerdekaan ekonomi, amatlah sukar untuk menyatakan negara-negara di Asia Tenggara telah mencapai tahap ini kerana syarat ini amatlah sukar dicapai. Pada hakikatnya, keadaan negara-negara di Asia Tenggara selepas merdeka masih diselubungi dengan hutang yang bertambah serta masalah politik yang mengancam ekonominya dan kos-kos perang yang lepas harus ditanggung. Dengan itu, adalah mustahil untuk mengenepikan bantuan asing atau tidak mengadakan usahasama dengan negara asing kerana kesemunya membawa kemasukan pertukaran asing serta bantuan asing seperti teknologi dan bekalan buruh yang sangat diperlukan oleh negara yang baru merdeka. Tambahan lagi, pinjaman jangka pendek yang ditekankan sebagai salah satu syarat mencapai kemerdekaan ekonomi ini juga sukar dilaksanakan kerana kebanyakan pinjaman adalah dalam jumlah yang banyak dan memerlukan masa yang lama untuk membayar balik.

Jadi negara yang baru merdeka seperti Indonesia sememangnya tidak dapat membangun serta mengikut ekonominya tanpa bantuan asing. Maka syarat ini sukar menentukan kemerdekaan sesebuah negara dari segi ekonomi.

Syarat kemerdekaan yang seterusnya ialah memenuhi kebajikan rakyat juga sukar dicapai terutamanya dari segi kemiskinan, pengangguran dan kebuluran serta pendidikan mesti dipenuhi. Negara Burma juga gagal mematuhi kebajikan umum rakyatnya disebabkan oleh ketidakstabilan politik, perang saudara, maalah perpaduan kaum dan kemerosotan ekonominya yang menyebabkan kebajikan rakyat diabaikan. Ini disebabkan pihak penjajah Inggeris telah meninggalkan kerjasama yang kucar kacir akibat dasar pecah dan perintahnya serta keadaan ekonomi yang teruk. Dengan itu, Burma menghadapi masalah besar iaitu masalah perpaduan kaum antara kaum majoriti dan minoriti (Karen, Shan, Chin, Kachin dan sebagainya). Sebaik sahaja Burma mencapai kemerdekaannya pada 1948. Semasa pemerintahan U Nu, kaum minoriti memberontak kerana inginkan kerajaan sendiri sehingga menyebabkan kemerosotan ekonomi yang teruk dan perang saudara yang berlaku itu menyebabkan kemiskinan, kebuluran dan pengangguran yang amat ketara. Akibat kelemahan kerajaan U Nu, pihak tentera di bawah Ne Win telah mengambil alih pemerintahan pada 1962.

Ne Win memerintah berdasarkan dasar demokrasi sosialis. Ne Win berjaya membentuk pertahanan ketenteraan yang kuat tetapi gagal menjaga kebajikan rakyatnya. Beliau telah memerintah dengan kejam dan rakyat dipaksa mengikut arahan tentera dan tidak mempunyai kebebasan hak. Dari segi ekonomi pula, Ne Win juga gagal memajukan ekonomi sehingga rakyatnya, terutamanya para petani mengalami kemiskinan dan kebuluran. Justeru itu Burma dikatakan gagal menjaga kebajikan rakyatnya akibat ketidakstabilan politik dan juga ekonominya ditambah dengan masalah perpaduan kaumnya yang ketara. Oleh itu, syarat memenuhi kebajikan umum Furnivall ini secara amnya amat sukar dilaksanakan dengan sepenuhnya kerana untuk melaksanakan satu syarat, memerlukan usaha yang amat banyak.

Syarat yang terakhir ialah memenuhi kehendak umum masyarakat. Menurut Furnivall, syarat ini dipenuhi sekiranya negara itu berupaya untuk memenuhi kemahuan sosial umum yang sejajar dengan kemajuan ekonomi dan sosialnya. Republik Indonesia melalui UUD 1945 boleh dikatakan hampir memenuhi syarat ini. Misalnya dalam UUD, Bab X (warganegara), Fasal 27 setiap warganegara mempunyai kedudukan sama mengikut undang-undang serta mempunyai kebebasan bekerja. Selain itu, dalam Fasal 29 (Bab XI, Agama, Perkara (1), ia menjamin kebebasan beragama, beribadat serta kedudukan agama setiap bangsa dijamin.

Perkara-perkara yang dinyatakan dalam UUD 1945 sebenarnya merupakan apa yang dicita-citakan oleh rakyat sebelum merdeka dan merupakan kemahuan umum rakyat secara amnya. Kemahuan umum rakyat tidak lain daripada hak asasi yang sama dari segi undang-undang dan inilah perkara yang dianggap penting untuk mencapai perpaduan dan kesejahteraan negara.

Pada hakikatnya tahap kemerdekaan sesebuah negara di Asia Tenggara tidak dapat diukur sepenuhnya dengan menggunakan pra-syarat Furnivall. Ini mungkin disebabkan terdapat faktor-faktor lain yang berkait secara langsung dua sebaliknya dan kemerdekaan sesebuah negara. Misalnya sesebuah negara pertanian memerlukan modal dan kepakaran teknologi dalam menjayakan industri pemprosesan bahan membahang. Namun demikian pada hakikatnya sebuah negara pertanian adalah miskin kerana cara penghasilan bahan mentahnya menggunakan teknologi yang lama. Malah ramai tenaga buruh diperlukan bagi mengerjakan hasil pengeluaran negara. Oleh itu, keuntungan yang diperolehi akan dibelanjakan dalam mengkaji pekerja yang banyak dan mencagar perbelanjaan lain seperti sewa, cukai dan sebagainya.

Oleh yang demikian, pra syarat Furnivall adalah rigid dan kurang berkesan bagi negara-negara Asia Tenggara untuk dicapai dalam masa yang begitu singkat. Walaupun syarat-syarat Furnivall ini sukar dipenuhi namun terdapat juga syarat-syarat lain ini sebenarnya merupakan janji-janji kemerdekaan seperti demokrasi, pemodenan kebebasan para pejuang kemerdekaan kepada rakyatnya sebelum mencapai merdeka.