KONSEP IBADAH DALAM ISLAM
Oleh: Syahrul Alim Baharuddin

IBADAH sering dikaitkan dengan perkara seperti solat, puasa, zakat dan haji. Perkara itu adalah ibadah khusus, iaitu perkara yang wajib dilakukan oleh orang Islam sebagai satu cara mengabdikan diri kepada Allah swt.

Namun, tidak ramai yang beranggapan bahawa hidup ini adalah satu cara beribadah kepada Allah swt. Bermula dari bangun tidur pada sebelah pagi sehinggalah waktu tidur semula pada malamnya, malah tidur itu sendiri adalah suatu ibadah jika dilaksanakan mengikut cara yang diajarkan oleh junjungan besar Nabi 
Muhammad saw.

  

Ini adalah kerana Islam ialah satu cara hidup yang lengkap dan syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan. Islam tidak terbatas hanya kepada ibadah khusus semata-mata, malah lebih daripada itu.

Setiap gerak-geri, perbuatan, amalan dan fikiran kita dikehendaki supaya berlandaskan kepada ajaran Islam. Di sinilah letaknya keindahan Islam kerana Islam adalah agama lengkap yang diturunkan oleh Allah swt kepada manusia sebagai panduan kepada kesejahteraan hidup duniawi dan ukhrawi.

Pekerjaan pula adalah bermaksud �sesuatu yang dilakukan sebagai tanggungjawab� atau dalam perkataan lain �kewajipan� atau �tugas�. Pekerjaan juga dilihat sebagai satu usaha mencari rezeki untuk diri dan keluarga. Pekerjaan turut dianggap sebagai kerjaya atau profesion yang diceburi seseorang.

Daripada perspektif Islam, pekerjaan bermaksud sesuatu yang dilakukan sebagai tanggungjawab dalam segala urusan yang halal. Islam memandang perkara ini sebagai satu tuntutan agama. Ia adalah satu tanggungjawab fardu kifayah di dalam masyarakat tetapi menjadi fardu ain bagi seorang ketua keluarga untuk menyara hidup diri dan keluarganya.

Dalam erti kata lain, adalah menjadi satu kewajipan, iaitu fardu ain bagi seorang ketua keluarga untuk mencari rezeki dengan bekerja bagi menampung kehidupan harian semua yang berada di bawah tanggungannya termasuk dirinya. Jika ini tidak dilakukan, maka individu itu dikatakan tidak melaksanakan tanggungjawabnya ke atas mereka yang berhak.

Di dalam konteks masyarakat pula, adalah menjadi kewajipan fardu kifayah bagi orang Islam untuk bergiat di dalam sesuatu kerjaya. Misalnya jika di dalam masyarakat berkenaan tidak ada orang Islam yang menjalankan sesuatu pekerjaan yang dianggap kritikal, maka adalah menjadi kewajipan bagi ahli masyarakat berkenaan untuk memastikan supaya ada orang Islam yang menceburi bidang itu. Ini adalah tanggungjawab masyarakat atau fardu kifayah.

Hakikatnya, konsep ibadah di dalam Islam amat luas. Semua tindak-tanduk manusia menjadi ibadah jika tindak-tanduk yang dilaksanakan itu mendapat keredaan Ilahi. Janganlah disempitkan takrif ibadah itu hanya kepada ibadah khusus semata-mata. Perlu disedari bahawa setiap perbuatan kita diperhatikan oleh Allah swt yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat. Justeru, bekerja adalah satu ibadah.

Sebenarnya, banyak ciri yang dititikberatkan di dalam soal pekerjaan adalah selari dengan kehendak ajaran Islam. Ciri ini juga didokong dan ditekankan oleh Islam menerusi al-Quran dan sunnah Rasulullah saw.

Malah, jika dikaji sejarah peradaban Islam bermula daripada Rasulullah saw kepada pemerintahan Khulafa� Al-Rasyidin hinggalah kepada kerajaan Umaiyah dan Abbasiyah, dapat dilihat betapa ciri pekerjaan ini menjadi tulang belakang kepada kejayaan Islam itu sendiri sebagai satu agama yang dinamik dan progresif.

Tidak salah jika dikatakan bahawa kejayaan Islam sebagai satu tamadun adalah kerana penganutnya menganggap dan meyakini bahawa setiap pekerjaan yang mereka lakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah swt dan dengan ini, setiap pekerjaan yang dilakukan adalah satu ibadah kepada Allah Yang Maha Esa.

Ciri yang paling utama di dalam menjadikan pekerjaan sebagai ibadah adalah niat. Niat adalah soal hati yang hanya diketahui oleh diri kita dan Allah swt. Jika sesuatu pekerjaan atau arahan kerja dilakukan secara ikhlas, insya-Allah pekerjaan kita itu akan diterima sebagai satu ibadah dan seterusnya akan diberi ganjaran oleh Allah swt.

Umat Islam harus sedar dan yakin bahawa ganjaran yang diterima itu adalah dalam pelbagai bentuk seperti pahala untuk akhirat dan ganjaran kewangan di dunia. Namun, jika pekerjaan itu hanya dilaksanakan untuk mendapatkan wang, maka wang sajalah yang diperoleh.

Jika pekerjaan itu dibuat untuk mendapat pujian, itu sajalah yang akan dikecapi. Jika pekerjaan itu dijalankan untuk dilihat sebagai rajin, itu sajalah ganjaran yang dirasai. Tetapi jika pekerjaan itu dijalankan dengan ikhlas, semua ini mungkin diperoleh di samping ganjaran di akhirat nanti.

Sebab itulah kita digalakkan oleh Islam untuk sekurang-kurangnya memulakan pekerjaan kita dengan lafaz �Bismillahirrahmanirrahim� dan setiap apa yang kita lakukan itu adalah ikhlas kerana Allah swt.

Manusia adalah makhluk yang dicipta oleh Allah swt sebagai makhluk yang hidup secara bermasyarakat dan saling bergantungan antara satu sama lain. Ini memerlukan kepercayaan yang tinggi di antara satu sama lain atau dalam erti kata lain amanah. Setiap antara kita sebenarnya mempunyai amanah kepada 
masyarakat dan negara.

Apabila pergantungan di dalam masyarakat diterjemahkan kepada perkhidmatan atau pekerjaan yang dilakukan, ini bermakna setiap orang dipertanggungjawabkan untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan melakukan pekerjaan yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

Perkhidmatan dan pekerjaan yang dilakukan dengan jujur, ikhlas dan sebaik mungkin mengikut keupayaan dan potensi setiap individu adalah satu bentuk ibadah yang dipandang tinggi oleh Islam.

Umat Islam tidak boleh melakukan kerja ibarat melepaskan batuk di tangga saja. Jika tanggungjawab diberi, maka wajib bagi orang yang menerima tanggungjawab itu untuk melaksanakan amanah dengan cara yang paling baik mengikut kemampuan masing-masing. Ini sebenarnya adalah satu bentuk penghayatan amanah di dalam pekerjaan dan satu manifestasi konsep ibadah di dalam pekerjaan.

Pelaksanaan amanah dengan sebaik mungkin adalah kunci ke arah kecemerlangan individu dan organisasi. Sememangnya ini selari dengan ajaran Islam. Justeru, adalah penting bagi setiap orang untuk melaksanakan tanggungjawab di dalam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, komited dan bersungguh-sungguh.

Sabda Rasulullah saw di dalam sebuah hadis yang bermaksud: �Apabila tugas diamanahkan kepada kamu, maka laksanakan tugas itu dengan cemerlang yang mungkin.�

Disiplin dalam menjalankan tugas ialah melaksanakan sesuatu tugasan dengan sempurna dan mematuhi peraturan yang ditentukan serta menyelesaikan tugasan itu dalam jangka masa yang ditentukan. Dalam skop yang lebih luas, berdisiplin ialah cara hidup yang berperaturan berlandaskan pelbagai prinsip dan nilai yang mulia serta bertertib dalam kelakuan dan tindakan.

Hakikatnya, Islam amat mementingkan soal disiplin. Ini dapat dilihat melalui ibadah khusus, misalnya solat. Solat perlu ditunaikan dalam jangka waktu yang ditetapkan. Ini bermakna untuk menunaikan solat memerlukan kepada disiplin waktu. Untuk menunaikan solat itu sendiri, ada rukun yang perlu dilakukan dengan tertib. Ini bermakna solat mempunyai prosedur dan kaedah pelaksanaannya sendiri.

Begitu juga halnya dengan pekerjaan yang dilakukan. Ada prosedur dan peraturan yang ditetapkan yang perlu dipatuhi. Kerja itu sudah tentulah perlu disiapkan dalam satu tempoh tertentu yang diarahkan. Semua ini memerlukan disiplin.

Berdisiplin ketika bekerja ialah satu kekuatan yang menggerak kepada kejayaan dan kemenangan. Pekerja yang berdisiplin akan dapat melaksanakan tugas dengan lebih cepat dan berkesan daripada pekerja yang tidak berdisiplin. Oleh itu, Saidina Ali berkata: �Kebenaran yang tidak dipertahan dengan disiplin akan dikalahkan oleh kepalsuan yang berdisiplin.�

Di samping itu, kebersihan bukan saja kebersihan fizikal tetapi juga kebersihan rohani, iaitu bersih daripada sifat mazmumah. Justeru, kebersihan akan dapat meluruskan hala tuju perkhidmatan dan pekerjaan seseorang. Ini dapat meluruskan tujuan seseorang itu bekerja, bukan semata-mata untuk mencari nafkah tetapi juga untuk beribadah dan mencari keredaan Allah.

Apabila tujuan dan haluan bekerja itu bersih dan mantap dalam hati dan jiwa individu, maka kehadiran dan sumbangannya dalam perkhidmatan akan dapat membersihkannya daripada kegiatan mungkar dan jahat.

Perkhidmatan akan menjadi jentera untuk pembangunan dan tidak menjadi ejen kemungkaran dengan kegiatan seperti rasuah dan seumpamanya. Apabila arah pembangunan itu adalah untuk mencari keredaan Allah, maka akan lahirkan sebuah masyarakat yang sejahtera dan bersih tujuan dan kegiatannya.

Satu lagi ciri yang penting ialah mengakhiri setiap kerja dengan kalimah tahmid, iaitu �Alhamdulillah� sebagai tanda bersyukur di atas pekerjaan yang dilaksanakan. Tanda bersyukur dalam perkhidmatan atau pekerjaan ialah dengan menjadikan khidmat sebagai satu ibadah selain daripada tujuan mencari nafkah, tujuan bekerja adalah untuk mencari keredaan Allah.

Jika ini dijadikan sebagai matlamat pekerjaan, nescaya nafkah yang diperoleh itu mestilah nafkah yang halal kerana tujuan ialah juga untuk menunaikan kewajipan yang ditentukan oleh Allah terhadap diri dan keluarga.

Gaji, elaun dan imbuhan yang diterima mestilah bersih daripada sesuatu yang haram seperti rasuah serta tuntutan berlebihan daripada yang sepatutnya. Bahkan di dalam Islam, untuk menjamin pendapatan diredai Allah, kita digalakkan bekerja lebih daripada yang dijanjikan.

Tujuan bekerja, khususnya di dalam jabatan atau organisasi, adalah untuk menggerakkan jentera pentadbiran dan perkhidmatan supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai. Berkhidmat kepada orang ramai, berusaha untuk memberikan kemudahan dan kebaikan kepada rakyat dan perkara sepertinya � jika dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur � akan mendapat keredaan Allah.

Oleh sebab keredaan Allah swt tidak mempunyai batas, tidak luput dan tidak akan habis, setiap orang boleh memberikan khidmat sebanyak mungkin bagi memperoleh keredaan Ilahi. Dengan berkhidmat dan bekerja sebagai ibadah, seseorang akan mendapat kepuasan daripada kerjanya, mencintai kerjayanya dan berdedikasi di dalam menjalankan tugasannya.

Sebenarnya, banyak lagi ciri yang boleh diketengahkan yang dipentingkan dalam pekerjaan dan menjadi ciri yang menjadikan pekerjaan itu suatu ibadah. Misalnya berilmu pengetahuan, sabar, tekun, berbincang (musyawarah), jujur dan banyak lagi. Ciri ini yang menjadi konsep kepada perkhidmatan berkualiti jika diterapkan di dalam diri kita akan mendatangkan banyak manfaat dan faedah.

Bukan saja perkhidmatan dan pekerjaan yang dilakukan itu akan menjadi perkhidmatan dan pekerjaan yang berkualiti, malah ia boleh menjadi satu bentuk ibadah kepada Allah yang akan mendatangkan pahala seterusnya bermanfaat kepada diri kita di dunia dan akhirat.

Wallahu'alam..