Peristiwa 13 Mei 1969




Pengenalan


Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu tragedi berdarah yang banyak meninggalkan kesan terhadap politik , ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Peristiwa 13 Mei sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara tiba - tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada peristiwa 13 Mei . Selain itu kesan peninggalan penjajah Inggeris juga boleh dilihat sebagai punca kepada peristiwa tersebut. Amalan diskriminasi oleh Inggeris contohnya telah banyak merenggangkan lagi hubungan antara kaum di Tanah Melayu.


Dari sudut ekonomi peristiwa 13 Mei, banyak meninggalkan kesan yang negetif terrhadap masyarakat Melayu khasnya dan golongan bumiputera amnya. Pengenalan ekonomi mengikut ras umpamanya adalah bukti yang jelas kepada persoalan ini.Keadaan ini merupakan suatu kesan yang nyata selepas penjajahan British.Dasar ekonomi baru yang dirancangkan oleh kerajaan pada 1971 merupakan satu usaha bertujuan untuk mengimbangi kembali kedudukan ekonomi dan hubungan antara kaum di Malaysia.



Punca-Punca Yang Membawa Kepada Peristiwa 13 Mei 1969



1.            Layanan Berat Sebelah Oleh Tentera Jepun

 

Pada zaman pendudukan Jepun, masyarakat Tanah Melayu telah dilayan secara berbeza-beza. Masyarakat Cina umpamanya telah dilayan dengan begitu teruk oleh tentera Jepun berbanding dengan orang-orang Melayu. Keadaan ini berikutan Jepun yang pernah berperang dengan China sebelum ini menyebabkan perasaan saling mendendami antara satu sama lain masih segar dalam ingatan. Layanan berat sebelah ini telah menyemai perasaan permusuhan antara orang-orang Melayu dan Cina.

 

2.                  Dasar Pecah & Perintah Penjajah Inggeris


Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah merupakan satu tindakan yang berkesan dan telah menjadi punca wujudnya jurang antara kaum sama ada dari sudut ekonomi dan juga polarisasi kaum. Umpamanya orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong dan merekalah sebenarnya memiliki aset yang tinggi dalam ekonomi masyarakat Malaysia. Sementara orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum India kebanyakannya pula sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang.1 Pada hakikatnya kegiatan ekonomi orang-orang Melayu dan India adalah bercorak sara diri . Keadaaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang

 

3.         Latar belakang pendidikan yang berbeza


Latar belakang pendidikan yang berbeza juga telah dikaitkan sebagai punca yang membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei. Hal ini berlaku apabila sistem pendidikan yang wujud di Tanah Melyu sebelum merdeka terbahagi kepada empat aliran mengikut kaum iaitu sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris. Kempat-empat aliran ini mempunyai kurikulum yang tersendiri. Sekolah Melayu menekankan kemahiran menulis, membaca dan mengira sekadar keperluan peringkat rendah sahaja. Manakala kurikulum sekolah Cina dan India pula masing-masing berkiblatkan negeri asal mereka, malah buku-buku teks dan guru-guru yang mengajar juga telah dibawa dari Negeri China dan India .4 Keadaan ini telah mengukuhkan lagi keadaan keperibadian etnik yang telah sedia wujud. Sekolah Inggeris pula hanya dapat dinikmati oleh orang-orang Cina dan India yang tinggal di bandar-bandar sahaja.


4.            Pertelingkahan Parti Politik


Dalam pilihan raya 1964 Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP Singapura telah turut serta dalam pilihan raya . Walaupun sudah ada persetujuan antara Tunku dan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin PAP yang tidak akan menyertai pilihan raya itu tidak akan menyertai pilihan raya itu .Namun apabila pilihan raya itu berlangsung PAP telah meletak calonnya seramai sembilan orang . 

Bagaimanapun setelah Tunku membuat perisytiharan bahawa beliau tetap mengekalkan keanggotaan MCA dalam perikatan, 5 maka PAP yang gagal untuk menyertai Perikatan telah menukar corak kempennya dengan menyerang UMNO dan orang-orang Melayu . Mereka mula membangkitkan kedudukan istimewa orang Melayu, soal bahasa, malahan taraf bumiputera orang-orang Melayu turut dipersoalkan tanpa menghiraukan rasa tersinggung orang-orang Melayu. Sedangkan segala-galanya telah dipersetujuinya sebelum ini . Setelah gagal dalam pilihan raya, PAP telah menubuhkan Konvensyen Perpadauan Malaysia (KPM) dengan disertai oleh Parti Progresif Rakyat dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak. KPM juga telah menyebarkan cogan kata "Malaysia hak orang Malaysia " (Malaysian Malaysia) dengan tujuan supaya hak istimewa orang Melayu atau bumiputera dihapuskan .


5.            Perasaan tidak puas hati terhadap hak istimewa orang melayu

PAP telah secara lantang menyuarakan rasa tidak puashati terhadap apa yang disebut sebagai hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan . Mereka mendakwa hak kaum-kaum lain telah diketepikan kononnya mereka telah tersisih daripada keadilan . Oleh sebab itu menurut Jomo dalam bukunya "Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia " , isu sebenar yang mencetuskan peristiwa 13 Mei adalah perasaan tidak puas hati terhadap hak istimewa orang Melayu.
Namun hakikat sebenarnya kedudukan taraf ekonomi orang Melayu adalah terkebawah berbanding dengan kaum Cina .

6.             Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara

Isu bahasa juga tidak kurang pentingnya dalam menyumbangkan faktor kepada peristiwa 13 Mei . Berikutan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957, sebuah perlembagaan Persekutuan telah dibentuk yang antara lainnya menyatakan dengan jelas tentang kedudukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah sebagai bahasa rasmi negara.10 Selepas sepuluh tahun merdeka kerajaan akan mengkaji semula tentang kedudukan bahasa Inggeris dengan tujuan untuk mengugurkannya daripada status bahasa rasmi dan hanya bahasa Melayu sahaja yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi. Untuk mencapai tujuan itu, pada 31 Ogos 1967 kerajaan telah mengadakan pelbagai kegiatan bagi tujuan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu . Antara kempen yang dijalankan ialah Hari Bahasa Kebangsaan , Minggu bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan . Pelaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan telah dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dipimpim oleh Syed Nasir bin Ismail.


Kesimpulan


Peristiwa pahit 13 Mei 1969 bukan sahaja dicatat sebagai sejarah pertelingkahan kaum yang menggariskan sempadan - sempadan yang harus diteliti dan dipelihara oleh semua pihak, malah ia turut memaparkan rahsia-rahsia pembinaan negarabangsa yang mencakupi bidang-bidang politik, sosial dan ekonomi serta betapa pentingnya integrasi nasional. Andaikata petanda-petanda yang diperolehi itu gagal dimenafaatkan sudah tentu cita-cita untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur akan menjadi bayangan sahaja.